PAPAR, 25 Dis – Seorang lelaki cedera selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam parit dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Kampung Kawari, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.51 pagi sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit di lokasi berkenaan.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan dengan jentera tiba pada jam 2.11 pagi, kira-kira 10 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK II Shafie bin Salleh berkata, seorang mangsa lelaki berusia 36 tahun didapati mengalami kecederaan akibat kemalangan tersebut.
“Mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS Bomba bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Operasi melibatkan lapan anggota bomba, menggunakan dua jentera iaitu FRT-1 dengan enam anggota dan EMRS-1 dengan dua anggota.
Beliau berkata, selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.23 pagi.
Sementara itu, Ketua Balai BBP Papar, Rozlan bin Osman memaklumkan orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu khususnya pada waktu malam dan awal pagi.
TAMAT
