TAWAU, 18 APRIL— Dua lelaki tempatan diberkas polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Tapis yang dilaksanakan, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Polis Jasmin Hussin berkata, tangkapan pertama dibuat oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 11.40 pagi di sebuah bilik penginapan di kawasan Bandar Fajar.
Menurutnya, suspek berusia 42 tahun itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut menemukan satu paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki syabu seberat kira-kira 0.19 gram.
“Dalam operasi kedua pada hari sama sekitar jam 6 petang di Kampung Tanjung Batu Tengah, seorang lagi lelaki berusia 42 tahun turut ditahan selepas dilihat berkelakuan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan dipercayai syabu seberat kira-kira 0.20 gram yang diserahkan sendiri oleh suspek kepada anggota polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang ramai agar menjauhi penyalahgunaan dadah kerana bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan masa depan individu serta keselamatan masyarakat.
