LELAKI DITAHAN BERSAMA DADAH BERNILAI RM2,800 DI PENAMPANG

sabahheadlines
1 Min Read

PENAMPANG, 2 APRIL — Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dalam satu operasi di kawasan Beverly, di sini, malam tadi.

Dalam operasi kira-kira jam 9.30 malam yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah, pihak berkuasa berjaya merampas sejumlah dadah disyaki jenis ekstasi dan ketamin dengan anggaran nilai keseluruhan RM2,800.

Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan dua plastik hitam mengandungi tiga paket kecil berisi serbuk dipercayai ekstasi seberat 108.71 gram, selain dua paket lut sinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki ketamin seberat 5.24 gram.

Turut dirampas dalam operasi berkenaan ialah sebuah motosikal jenis Honda dan sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.

Suspek kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman berat jika sabit kesalahan.

Polis dalam pada itu mengingatkan orang ramai agar menjauhi aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah kerana ia bukan sahaja menjejaskan kehidupan individu, malah memberi kesan buruk kepada keluarga dan masyarakat.

Pihak berkuasa turut menegaskan akan terus mempergiat operasi bagi membanteras kegiatan dadah di negeri ini tanpa kompromi.

Share This Article