BELIA PENCETUS IDEA, RAKAN STRATEGIK PEMBANGUNAN SABAH

sabahheadlines
4 Min Read

TAWAU, 11 JULAI – Golongan belia bukan lagi sekadar pewaris kepimpinan masa depan
sebaliknya kini menjadi pencetus idea, penggerak ekonomi, peneraju inovasi, pemimpin
komuniti serta rakan strategik kerajaan dalam mencorakkan pembangunan Sabah, kata
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, pembangunan sesebuah negeri tidak hanya bergantung kepada
kekayaan sumber asli atau kemajuan fizikal semata-mata sebaliknya ditentukan oleh
kualiti rakyat khususnya generasi muda yang menjadi pemacu utama kemajuan negeri.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh belia di Sabah supaya terus melengkapkan diri
dengan kemahiran tinggi (high-skill), menguasai teknologi terkini serta memupuk nilai
integriti yang utuh bagi memastikan mereka mampu bersaing dalam landskap ekonomi
masa depan.

“Jangan takut untuk meneroka bidang-bidang baharu seperti keusahawanan digital,
ekonomi hijau dan inovasi yang mampu mencipta peluang pekerjaan untuk diri sendiri
serta masyarakat setempat,” katanya ketika merasmikan Karnival Hari Belia Sabah
sempena Sambutan Hari Belia Negara Tahun 2026 di Kompleks Sukan Tawau, pada
Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan
Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa meletakkan pembangunan belia sebagai antara
keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan Sabah terutama apabila negeri
ini kini memasuki fasa baharu menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi
tempoh 2026 hingga 2030.

Menurutnya, pelan pembangunan itu bukan sekadar meneruskan kejayaan Sabah Maju
Jaya 1.0, malah menjadi asas memperkukuh ekonomi negeri, mempercepat
pembangunan infrastruktur, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperkasakan
modal insan ke arah menjadikan Sabah sebuah negeri yang progresif, inklusif dan
berdaya tahan.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memastikan suara dan keperluan golongan belia
sentiasa diberi perhatian menerusi pelbagai dasar serta inisiatif yang memperkukuh kepimpinan generasi muda dan menyediakan mereka menghadapi cabaran masa
depan.

Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pelaburan dalam
pembangunan modal insan melalui pelbagai inisiatif membabitkan akses pendidikan,
latihan kemahiran, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),
pembangunan bakat, pembinaan kepimpinan serta peluang keusahawanan yang lebih inklusif.

Beliau berkata, sehingga kini kerajaan negeri meneruskan pelaksanaan 14 inisiatif
bantuan pendidikan yang diperkenalkan sejak 2021 bagi memastikan lebih ramai pelajar Sabah memperoleh akses kepada pendidikan berkualiti tanpa dibebani masalah
kewangan.

Katanya, kerajaan turut memberi penekanan terhadap pembangunan TVET khususnya
dalam bidang kecerdasan buatan (Al), ekonomi digital, automasi, tenaga boleh baharu,
teknologi hijau, industri minyak dan gas, aeroangkasa, maritim, pelancongan, pertanian
moden serta ekonomi kreatif yang menawarkan peluang kerjaya luas kepada generasi
muda.

Menyentuh Sukarelawan Belia Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan, Hajiji berkata, penubuhan sukarelawan itu bukan sekadar satu program sebaliknya sebuah gerakan
yang menghimpunkan aspirasi, potensi dan cita-cita generasi muda Sabah bagi
melahirkan belia yang lebih berdaya saing, berkemahiran, berintegriti, inovatif serta
mempunyai semangat kesukarelawanan yang tinggi.

“Saya berharap Sukarelawan Belia SMJ menjadi wadah melahirkan pemimpin muda
yang cemerlang, berjiwa rakyat, mempunyai semangat perpaduan dan rasa tanggungjawab untuk bersama-sama membangunkan negeri yang kita cintai ini.

“Kita mahu belia Sabah dikenali kerana kejayaan yang mereka cipta, nilai yang mereka pegang serta sumbangan besar yang mereka berikan kepada negeri, negara dan
dunia,” katanya.

Beliau turut berharap budaya kesukarelawanan terus diperkasakan dalam kalangan belia memandangkan Sabah sering berhadapan pelbagai cabaran termasuk bencana
alam, perubahan iklim dan isu sosial yang memerlukan semangat saling membantu
tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.

Dalam masa sama, Ketua Menteri menyeru golongan belia supaya terus menjadi
jambatan perpaduan yang menyatukan masyarakat, mengekalkan keharmonian serta tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar yang boleh menggugat keamanan negeri.


Share This Article