Lelaki Maut Ditembak Ketika Memburu di Hutan Simpan Safoda

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA BELUD, 1 Mac — Seorang lelaki maut selepas dipercayai terkena tembakan ketika menjalankan aktiviti memburu di kawasan Hutan Simpan Stesen Safoda, Ulu Kukut, di sini, pada 28 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.17 malam menerusi talian MERS 999 selepas mangsa dilaporkan terjatuh dari pokok dan tidak sedarkan diri.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa berusia 44 tahun ditemui dalam keadaan terbaring kira-kira 5.2 kilometer dari Pejabat Ladang Safoda.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala dan badan mangsa yang disyaki akibat kesan tembakan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media pada ahad.

Siasatan lanjut mendapati mangsa keluar memburu bersama seorang lelaki berusia 35 tahun pada awal pagi hari kejadian.

Susulan itu polis telah menahan lelaki terbabit bagi membantu siasatan.

“Temu bual awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Turut dirampas bagi membantu siasatan ialah selaras senapang jenis bakakuk serta beberapa barangan lain untuk tujuan pemeriksaan forensik dan analisis balistik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis.

TAMAT

Share This Article