KOTA BELUD, 7 APRIL – Seorang lelaki dilaporkan hilang dan dipercayai lemas ketika mandi-manda di sebuah sungai di Kampung Purak Ogis SUPUAN di sini, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.12 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakkan ke lokasi.
Pasukan bomba yang diketuai Komander Operasi, PBK I Sufian Aban, tiba di lokasi kira-kira jam 5.42 petang selepas menempuh perjalanan sejauh 25 kilometer.
Menurut laporan awal, mangsa dikenali sebagai Fernandez Anak Sawing @ Andin, 33, dilaporkan hilang selepas dipercayai lemas ketika menjalankan aktiviti mandi di sungai berkenaan.
Seramai sembilan anggota bomba terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan kenderaan pacuan empat roda jenis Vigo.
Operasi SAR kini giat dijalankan di sekitar kawasan persisiran sungai bagi mengesan mangsa yang masih belum ditemui setakat ini.
Sementara itu, Pemangku Ketua Balai BBP Kota Belud, PPgB Elgie Bakuk memaklumkan bahawa operasi masih diteruskan dan sebarang perkembangan akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
