KM PERKUKUH KOMITMEN PENDIDIKAN SABAH, TERIMA TAKLIMAT STRATEGIK JPN

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 7 APRIL — Usaha memperkasa sektor pendidikan negeri terus menjadi keutamaan apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat delegasi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini.

Delegasi berkenaan diketuai Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Haji Raisin Saidin yang menyampaikan taklimat komprehensif berkaitan pelaksanaan program utama pendidikan negeri bagi tahun semasa serta hala tuju perancangan masa depan.

Taklimat itu turut menyentuh perkembangan terkini pencapaian pelajar Sabah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang menunjukkan prestasi positif dan peningkatan memberangsangkan.

Dalam pertemuan tersebut, Hajiji menegaskan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memperkukuh sistem pendidikan melalui peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran, pemantapan tadbir urus sekolah serta penekanan kepada pembangunan menyeluruh pelajar.

Menurut beliau, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan JPN Sabah perlu diperkasa bagi memastikan setiap dasar serta inisiatif pendidikan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan menyeluruh.

“Sinergi berterusan ini amat penting dalam melahirkan generasi berilmu, berkemahiran serta mampu bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Turut hadir dalam delegasi tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Puan Indang Kasi Haji Sibin; Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Encik Krishna KS @ Mohd Fadzli Hj Abd Rozan; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Encik Muddin Beting; serta Ketua Penolong Pengarah Kanan, Encik Salleh Linggam.

Pertemuan itu mencerminkan komitmen bersepadu semua pihak dalam memperkukuh ekosistem pendidikan negeri demi melahirkan modal insan berkualiti tinggi.

Share This Article