Lelaki Ditemui Meninggal Dunia Dalam Kereta di Hadapan Masjid Kampung Mesej Nala

LAHAD DATU, 11 Okt – Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta yang diletakkan di kawasan parkir berhampiran Masjid Kampung Mesej Nala, Tungku, tengah hari tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu pada jam 12.55 tengah hari selepas dimaklumkan oleh orang awam.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia di dalam kereta berkenaan.

Pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan di lokasi tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, saksi kejadian memaklumkan bahawa selepas menunaikan solat di masjid berhampiran dia melihat sebuah kereta yang diletakkan di kawasan parkir dan menyangka pemandunya sedang tidur.

“Namun selepas mengetuk cermin kereta tiada sebarang tindak balas.

Saksi kemudian membuka pintu kereta dan mendapati lelaki terbabit tidak sedarkan diri sebelum menghubungi polis dan pihak kesihatan,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Jimmy berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat bagi membantu siasatan.

TAMAT