LAHAD DATU: 13 Oktober – Dalam usaha memperkukuh tadbir urus dan memastikan pasukan keselamatan bebas daripada sebarang bentuk rasuah, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bakal melaksanakan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (Anti-Bribery Management System – ABMS) sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan organisasi hingga tahun 2028.
Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Polis Datuk Victor Sanjos, berkata pelaksanaan sistem itu menjadi tanda komitmen ESSCOM terhadap integriti serta kepercayaan masyarakat, pelabur dan pelancong terhadap tahap keselamatan di Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZONE).
“ABMS ini penting untuk kita mencerminkan dan menyahut cabaran bahawa integriti daripada setiap pasukan keselamatan, setiap pegawai dan anggota di ESSCOM ini perlu kita pertahankan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan amanat sempena Perhimpunan Bulanan ESSCOM di Dewan Pangkalan Polis Marin Lahad Datu, pagi tadi.
Menurut Datuk Victor, sistem ABMS berkenaan akan dizahirkan dan disijilkan secara rasmi dalam masa terdekat, sekali gus menjadi sebahagian daripada usaha organisasi mengekalkan standard pengurusan integriti bertaraf antarabangsa.
Langkah itu, katanya, seiring dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan perkhidmatan awam yang telus, berintegriti dan diyakini masyarakat, khususnya di kawasan pantai timur Sabah.
Dengan pelaksanaan ABMS, ESSCOM yakin reputasi agensi itu sebagai benteng keselamatan negara akan terus kukuh — bukan sahaja dari segi kecekapan dan keberkesanan operasi, tetapi juga bebas daripada unsur rasuah dan penyelewengan.
Pada majlis sama turut diadakan pelancaran Naskhah Pelan Tindakan Pembangunan Keselamatan ESSCOM (Blueprint) bagi fasa kedua, iaitu Fasa Pengukuhan (2024–2028) yang menumpukan kepada tiga elemen utama — pengesanan, penganalisisan dan pemintasan (detection, analyzing dan intercept).
Terdahulu, dalam ucapannya di majlis perhimpunan, Datuk Victor berkata ESSCOM kini berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah demi memastikan keselamatan di kawasan Sabah Timur sentiasa terjamin.
TAMAT
