LELAKI DIPERCAYAI DIBAHAM BUAYA KETIKA MEMANCING

sabahheadlines
1 Min Read

sh@ Syamilah Salleh

KINABATANGAN: 6 Julai- Seorang lelaki dipercayai dibaham buaya ketika menjalankan aktiviti memancing di Sungai Tomanggong, Sukau di sini, tengah hari tadi.

Mangsa dikenali sebagai Mare Miri, masih belum ditemui setakat jam 5 petang, dan operasi mencari serta menyelamat sedang dijalankan oleh pasukan penyelamat.

Menurut kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Sukau pada jam 1.14 tengah hari berhubung kejadian itu.

Dua anggota dari BBP Kinabatangan digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 55 kilometer dengan menaiki jentera VIGO-1, diketuai Komander Operasi PB Alhafiz Amedjaed.

Setibanya pasukan di lokasi, pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai dibaham buaya sewaktu memancing berhampiran tebing sungai.

Tiada saksi yang melihat kejadian secara langsung, namun beberapa barangan peribadi mangsa ditemukan di lokasi tersebut.

Turut serta dalam operasi pencarian ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Balai Polis Sukau.

Pihak bomba meminta orang awam, khususnya penduduk sekitar kawasan sungai, agar berhati-hati dan mengelakkan sebarang aktiviti berhampiran sungai yang dikenali sebagai habitat buaya.

TAMAT

Share This Article