MUIS SUMBANG 13 VAN JENAZAH BERNILAI RM2.21 JUTA

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA KINABALU,23 Oktober – Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menyumbangkan 13 van jenazah bernilai keseluruhan RM2.21 juta kepada masjid, badan dakwah dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) bagi memudahkan urusan pengangkutan jenazah serta membantu masyarakat yang memerlukan di negeri ini.

Sumbangan itu diserahkan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, kepada wakil penerima dalam satu majlis di sini, Jumaat.

Arifin yang juga Exco Agama Sabah berkata, setiap van bernilai RM170,000 itu dibiayai menerusi peruntukan zakat dan fitrah MUIS, khususnya bagi membantu penduduk yang menghadapi kesukaran mendapatkan kemudahan pengangkutan jenazah.

Beliau berharap kemudahan berkenaan dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk melancarkan urusan pengurusan jenazah selain meringankan beban keluarga dan masyarakat setempat.

“Ini merupakan sumbangan daripada MUIS dan saya berharap kenderaan ini dapat dimanfaatkan, terutama bagi memudahkan urusan yang melibatkan kesusahan di kawasan masing-masing serta membantu masyarakat di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, MUIS turut mempertimbangkan peluasan kemudahan itu ke kawasan lain berdasarkan keperluan setempat bagi memastikan lebih ramai penduduk mendapat manfaat.

Katanya, penempatan van jenazah di masjid atau lokasi strategik boleh dipertimbangkan supaya kemudahan berkenaan dapat dikongsi oleh beberapa kariah dan kampung berhampiran sekali gus memastikan penggunaannya lebih menyeluruh.

“Insya-Allah, selepas ini kita akan mengenal pasti tempat yang benar-benar memerlukan supaya kenderaan ini boleh dimanfaatkan oleh banyak kampung, bukan satu kampung sahaja,” katanya.

Beliau turut meminta semua pihak penerima supaya menjaga kenderaan yang disumbangkan dengan baik bagi memastikan kemudahan itu dapat digunakan secara berterusan untuk kepentingan masyarakat.

Menurut Arifin, sumbangan berkenaan juga mencerminkan usaha MUIS membantu pihak yang menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menyantuni masyarakat.

Antara penerima sumbangan ialah Masjid Al-Falah, Kampung Karamunting, Sandakan; Masjid An-Nur, Kampung Kabang, Papar; badan dakwah daerah Membakut, Paitan dan Pitas; Masjid Daerah Mesapol serta Masjid Daerah Semporna.

Turut menerima van jenazah ialah Masjid Haji Sidik, Kampung Bolong Baru, Tuaran; Masjid Jamek Al-Ubudiah, Desa Kenchana, Lahad Datu; Masjid Jamek Kampung Telaga, Pitas; Masjid Asmaul Husna, Kampung Tinusa 2, Sandakan; Masjid Muhajirin, Kampung Inderasabah, Tawau; serta Pejabat UPPM N.32 Klias.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih.

Share This Article