Borneo Bloc Perkukuh Keseimbangan Persekutuan, Bukan Agenda Dominasi Politik

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 4 Mac – Cadangan penubuhan Borneo Bloc disifatkan sebagai langkah memperkukuh keseimbangan dalam kerangka Persekutuan Malaysia, bukannya usaha untuk memperluas pengaruh politik Sabah dan Sarawak di peringkat pusat.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, YB Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan berkata, dakwaan yang mengaitkan inisiatif berkenaan dengan percaturan kuasa politik perlu dinilai secara menyeluruh berdasarkan sejarah pembentukan negara dan semangat asal Persekutuan.

Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang berpendapat cadangan itu berpotensi mengukuhkan kawalan politik Sabah dan Sarawak di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, Borneo Bloc sebaliknya bertujuan menyelaras pendirian wakil rakyat dari kedua-dua wilayah agar isu berkepentingan rakyat dapat dibawa secara lebih tersusun dan berkesan di Parlimen. Pendekatan sedemikian, katanya, selari dengan amalan sistem Persekutuan yang mengiktiraf kerjasama antara wilayah bagi memperkukuh kedudukan rundingan masing-masing.

“Malaysia ditubuhkan atas prinsip perkongsian wilayah yang jelas. Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan melalui rundingan yang menetapkan jaminan tertentu termasuk aspek autonomi pentadbiran, identiti tempatan dan kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan, jaminan itu terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas pembentukan negara. Sehubungan itu, usaha memperkasa pelaksanaan perkara-perkara yang dipersetujui seperti kuasa imigresen, hak berkaitan hasil petroleum dan tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan tidak wajar dianggap sebagai kelebihan melampau.

Tambahnya, cadangan menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak juga perlu dilihat dalam konteks keperluan representasi yang lebih seimbang, mengambil kira keluasan geografi, kepelbagaian demografi serta cabaran pembangunan yang unik di kedua-dua wilayah berkenaan.

“Langkah memperkukuh kesepakatan antara Sabah dan Sarawak bukan bertujuan mewujudkan persaingan dengan Semenanjung, sebaliknya memastikan semangat perkongsian dalam Persekutuan terus dipelihara,” katanya.

Beliau menekankan bahawa pendekatan tersebut mencerminkan kematangan politik kedua-dua wilayah dalam memperjuangkan hak Perlembagaan dan agenda pembangunan secara konstruktif demi kestabilan dan kemajuan negara secara keseluruhan.

TAMAT

Share This Article