MAYAT PEMUKAT HILANG DI MUARA SERUSUP DITEMUI DI PANTAI KELAMBU, KUDAT

sabahheadlines
2 Min Read

Oleh: Syarmillah Salleh

TUARAN, 6 Sept – Pencarian seorang lelaki sejak 30 Ogos akhirnya berakhir dengan penemuan mayatnya semalam.

Bagaimanapun mayat lelaki yang dilaporkan hilang di muara Sungai Serusup di sini ditemui di Pantai Kelambu Kudat.

Mangsa, Husaini Saidin, 34, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar memukat seawal jam 4.30 pagi.

Ahli keluarga dan penduduk kampung menemui bot miliknya dalam keadaan rosak di tebing muara sebelum membuat laporan polis dan memaklumkan kepada Balai Bomba Tuaran pada 1 September.

Sejurus itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dengan penyertaan pelbagai agensi termasuk Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Unit Penyelam PPDA Zon Kota Kinabalu, Unit Dron PDRM, Unit Dron D’Bayu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta bantuan orang awam.

Komander Operasi, PBK I Azran Jull berkata, pencarian hari kelima dimulakan pada jam 9 pagi semalam dengan radius sejauh 15 kilometer meliputi persisiran pantai Kampung Serusup, perairan Lok Senang dan Lok Pisok.

“Unit penyelam turut melaksanakan pencarian di dasar sungai dengan kedalaman empat meter, manakala bot penyelamat digunakan bagi memperluas kawasan pencarian di laut,” katanya.

Namun, pada jam 2.14 petang, Balai Bomba Kudat menerima laporan penemuan mayat lelaki terdampar di Pantai Kelambu sebelum disahkan sebagai mangsa oleh pihak polis serta keluarga di hospital.

Operasi SAR yang melibatkan 22 anggota penyelamat dan dua bot ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.10 malam selepas pengesahan identiti dibuat.

TAMAT

Share This Article