KOTA KINABALU, 10 APRIL — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah mempertingkatkan operasi penguatkuasaan di beberapa lokasi sekitar ibu negeri yang membawa kepada penahanan 55 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.
Dalam kenyataan hari ini JIM Sabah memaklumkan bahawa tindakan tersebut dilaksanakan menerusi beberapa operasi bersepadu termasuk Ops Gegar, Ops Selera, Ops Kutip dan Ops Sapu yang dijalankan secara berasingan.
Bagi Ops Gegar seramai 114 individu telah diperiksa dengan 22 daripadanya ditahan melibatkan warganegara Filipina. Mereka terdiri daripada 12 lelaki dan 10 wanita dewasa dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Sementara itu Ops Selera dan Ops Kutip yang dijalankan secara berasingan menyaksikan pemeriksaan ke atas 120 individu. Hasil operasi tersebut 11 warga Filipina ditahan melibatkan dua lelaki dan sembilan wanita dewasa.
Dalam Ops Sapu pula pihak penguat kuasa memeriksa 49 individu dan menahan 22 warga asing. Tangkapan melibatkan dua lelaki dewasa, tujuh wanita dewasa serta 13 kanak-kanak, masing-masing enam lelaki dan tujuh perempuan.
Secara keseluruhan sebanyak 283 individu telah diperiksa dalam semua operasi terbabit dengan 55 daripadanya ditahan kerana disyaki melanggar undang-undang imigresen negara.
Kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk siasatan dan tindakan lanjut.
JIM Sabah menegaskan akan terus mempergiat operasi seumpama ini dari semasa ke semasa sebagai usaha membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara.
