KOTA KINABALU, 7 APRIL — Keputusan mahkamah berkaitan penangguhan pelaksanaan bayaran 40 peratus hasil kepada Sabah tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melengah-lengahkan tindakan sebaliknya rundingan perlu diteruskan secara konsisten.
Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun menegaskan bahawa perintah ‘stay of execution’ hanya bersifat prosedural dan tidak menghalang usaha perbincangan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, komitmen politik yang jelas perlu diterjemahkan melalui tindakan berterusan tanpa bergantung sepenuhnya kepada proses perundangan.
“Keputusan penangguhan tidak bermakna rundingan turut terhenti. Jika ada kesungguhan proses perbincangan mesti diteruskan tanpa gangguan,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.
Sebarang kelewatan dalam meneruskan rundingan hanya memberi gambaran seolah-olah hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan tidak diberi keutamaan sewajarnya.
“Ini bukan isu baharu, tetapi hak yang telah lama tertangguh. Rakyat Sabah telah menunggu sekian lama untuk menikmati hak tersebut,” katanya.
Dalam masa sama, Azizah menegaskan bahawa kegagalan menunaikan hak berkenaan boleh dilihat sebagai pengabaian terhadap kepentingan rakyat negeri ini yang merupakan sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.
“Rakyat Sabah berhak menerima layanan yang adil dan saksama. Sebarang kelewatan hanya akan memberi kesan kepada kesejahteraan mereka,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau turut menyangkal tanggapan bahawa pemberian subsidi diesel kepada Sabah dan Sarawak bermotifkan politik semata-mata.
Sebaliknya, kata Azizah perkara itu berkait rapat dengan sumbangan hasil negeri khususnya daripada sumber petroleum yang menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.
Beliau turut mengingatkan bahawa realiti kos sara hidup di Sabah adalah lebih tinggi berikutan faktor logistik dan dasar sedia ada sekali gus menolak persepsi bahawa negeri ini menerima keistimewaan berlebihan.
“Walaupun terdapat subsidi rakyat Sabah masih berdepan kos hidup yang tinggi. Justeru isu ini perlu dilihat secara menyeluruh dan adil,” katanya.
