NOTIS PENGOSONGAN KAMPUNG GUM-GUM : SUHAIMI NASIR MOHON TEMPOH DILANJUTKAN ENAM BULAN

sabahheadlines
3 Min Read

SANDAKAN, 21 JULAI – Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir akan memohon supaya tempoh notis pengosongan bagi 93 rumah penduduk Kampung Gum-Gum Batu 16 dilanjutkan daripada 30 hari kepada enam bulan bagi memberi ruang kepada keluarga terjejas membuat persiapan.

Permohonan itu susulan kebimbangan penduduk terhadap notis pengosongan yang dikeluarkan berkaitan pelaksanaan projek pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Gum-Gum yang melibatkan 75 rumah di tapak cadangan projek serta 18 rumah lain di kawasan berasingan yang turut terkesan.

Suhaimi berkata, lanjutan tempoh berkenaan penting bagi memastikan penduduk khususnya keluarga berpendapatan rendah tidak berdepan tekanan untuk mengosongkan kediaman dalam tempoh yang singkat tanpa penyelesaian yang jelas.

“Penduduk memerlukan masa untuk membuat persiapan, termasuk mencari penempatan baharu dan menguruskan pemindahan barangan. Kita mahu pembangunan diteruskan, tetapi kebajikan penduduk juga perlu diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perhimpunan solidariti melibatkan kira-kira 300 penduduk Kampung Gum-Gum di Dewan Sri Gum-Gum pada ahad yang diadakan bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu pengosongan tersebut.

Menurut Suhaimi, satu jawatankuasa bertindak akan dicadangkan sebagai wakil rasmi penduduk bagi memudahkan rundingan bersama pihak berkuasa selain mencari penyelesaian terbaik termasuk aspek penempatan semula.

Katanya, beliau juga akan berusaha mendapatkan bantuan perumahan menerusi inisiatif Rumah SMJ daripada kerajaan negeri serta memohon sokongan Kerajaan Persekutuan melalui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi mendapatkan bantuan daripada FELCRA dan RISDA untuk membantu keluarga terjejas membina kediaman baharu.

“Sebuah tapak tanah milik kerajaan dalam kawasan DUN Gum-Gum telah dikenal pasti sebagai lokasi cadangan penempatan semula namun perkara itu masih tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah,” katanya.

Sementara itu, wakil NGO Komuniti Prihatin Gum-Gum, Muhammad Yusuf Yoda berkata, penduduk tidak menolak pembangunan termasuk pembinaan balai bomba namun berharap pelaksanaannya mengambil kira hak serta kebajikan penduduk yang telah lama menetap di kawasan berkenaan.

Katanya, penduduk mahukan penyelesaian secara rundingan bersama tanpa menjejaskan kehidupan keluarga yang terlibat.

Seorang penduduk Zainab Mohd Zain pula berkata tempoh notis 30 hari terlalu singkat terutama bagi keluarga berpendapatan rendah yang memerlukan masa untuk mencari tempat tinggal baharu.

Projek pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Gum-Gum bernilai kira-kira RM17 juta itu dijangka dilaksanakan di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Share This Article