LAHAD DATU,8 FEBRUARI -Dalam usaha memastikan tahap keselamatan negeri sentiasa berada pada tahap optimum, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah melaksanakan latihan intensif menerusi Tiger Challenge Briged Sabah melibatkan pasukan elit Tiger Platun.
Seramai 126 pegawai dan anggota daripada unit Tiger Platun Sabah menyertai latihan khas serta pertandingan berkenaan yang berlangsung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Februari di Lahad Datu.
Komander Briged PGA Sabah, SAC Nor Omar Sappi berkata, latihan itu bertujuan memperkasakan tiga pasukan elit Tiger Platun supaya sentiasa berada dalam tahap kesiapsiagaan tinggi dan boleh digerakkan pada bila-bila masa.
Menurut beliau, faktor keselamatan di Sabah menuntut kesiapsiagaan berterusan memandangkan negeri ini mempunyai sejarah berdepan ancaman keselamatan serius sebelum ini.
“Hasrat saya adalah untuk memperkasakan tiga pasukan elit ini supaya boleh dideploy pada bila-bila masa dan menghadapi apa juga jenis ancaman.
“Kita sedia maklum Sabah mempunyai tahap risiko tersendiri dan pernah melalui sejarah lampau seperti Operasi Daulat justeru Tiger Platun dan PGA secara keseluruhan perlu sentiasa bersiap siaga dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Awani Borneo selepas majlis penutupan Tiger Challenge Briged Sabah yang diadakan di padang kawad Batalion 17 PGA Lahad Datu, petang tadi.
Latihan ini disertai anggota daripada Batalion 14, 15, 16, 17, 20, 21 dan 22 PGA yang mewakili seluruh Sabah.
Antara acara yang dipertandingkan termasuk tembak taktikal, mara lasak sejauh 13 kilometer dengan beban seberat 20 kilogram, ronda pandu arah, mendaki bukit sejauh 2.4 kilometer serta acara tembak jatuh piring.
Dalam keputusan keseluruhan pertandingan, Batalion 17 PGA Lahad Datu muncul juara diikuti Batalion 15 PGA Sandakan sebagai naib juara manakala tempat ketiga dimenangi oleh Batalion 14 PGA Tawau.
TAMAT
