TIADA EOT UNTUK PAN BORNEO

sabahheadlines
2 Min Read

sh@ Syarmilah Salleh

LAHAD DATU (15 JULAI): Extension of Times (EOT) tidak akan lagi diluluskan untuk pembinaan projek lebuh raya Pan Borneo.

Bagaimanapun ketidaklulusan EOT itu hanya untuk pakej 1B.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan di sini hari ini.

Katanya kementerian belajar daripada kesilapan lalu apabila pakej 1A yang telah terlewat penyiapannya akibat kelulusan EOT.

“Saya nyatakan awal-awal bahawa kita tidak akan neluluskan sebarang EOT untuk pakej 1B,” katanya.

Menurutnya, pakej 1A tertangguh antara dua hingga tiga tahun akibat EOT.

Katanya ada kontraktor memohon EOT sehingga lima kali “dan perkara ini tidak sepatutnya dibiarkan berulang.”

Ahmad Maslan sebelum itu telah mengikuti taklimat berkaitan pelaksanaan lebuh raya bagi pakej 1A dan pakej 1B.

Pakej 1A melibatkan 15 pakej kerja manakala pakej 1B pula melibatkab 19 pakej kerja di mana ianya telah dianugerahkan sejak akhir tahun lalu.

Beliau berkata jika kelulusan EOT itu diberi kepada satu syarikat, ianya akan turut dipohon oleh syarikat lain.

“Langkah itu hanya akan menyebabkan kelewatan dan tertangguh penyiapan projek itu,” katanya.

Menurutnya, kelewatan itu bukan sahaja merugikan rakyat dan kerajaan tetapi kontraktor itu sendiri akan mengalami kerugian.

“Jika projek disiapkan lebih awal, ia beri keuntungan kepada kontraktor kerana kos operasi dapat dijimatkan.

“Kerajaan juga tidak perlu membayar tuntutan tambahan…rakyat pula dapat menggunakan jalan yang siap dengan lebih selesa dan selamat,” jelasnya.

Tambah beliau, menjadi tanggungjawab kontraktor untuk menyelenggara jalan-jalan yang telah diambil alih daripada konsesi sedia ada sebaik projek dimulakan.

“Kegagalan menyelenggara akan menyebabkan jalan rosak dan menyusahkan rakyat bertahun-tahun.

” Ada projek yang sampai lima kali mohon EOT.. ini tidak boleh dibiarkan berulang. Dalam era kepimpinan kami, di bawah Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, kita tidak akan bertolak ansur terhadap alasan rekaan yang mahu menjustifikasi kelewatan,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa peringatan ini adalah amaran awal kepada semua pihak terlibat agar lebih bertanggungjawab dan memastikan jadual projek dipatuhi sepenuhnya.

TAMAT

Share This Article