sh@ Syarmilah Salleh
TAWAU, 14 Ogos – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) Zon Tawau menahan sebuah bot kargo yang sarat dengan muatan buah sawit.
Bot yang ditahan di perairan Wallace Bay itu didapati melanggar syarat sah lesen malam Rabu.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot itu dikesan pada kedudukan 2.1 batu nautika barat laut Muara Sungai Tongkang ketika rondaan Ops Pluto Timur, Ops Sejahtera dan Ops Tiris dijalankan kira-kira jam 8.20 malam.
“Hasil pemeriksaan awal, tiga lelaki warganegara berusia 40 hingga 66 tahun dikenal pasti sebagai nakhoda dan kru bot berkenaan. Semakan dokumen mendapati seorang kru tiada dalam senarai daftar lesen dan kegagalan memaklumkan pertukaran kru menjadi kesalahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bot bersama juragan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO 1952) kerana melanggar syarat sah lesen.
Menurutnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemilik atau pengendali bot yang gagal mematuhi syarat lesen.
“Komuniti maritim perlu sentiasa peka dan memastikan semua syarat lesen dipatuhi. Kegagalan berbuat demikian boleh membawa tindakan tegas,” katanya.
Beliau turut menegaskan, pihaknya akan terus memperkasakan operasi penguatkuasaan di Zon Maritim Malaysia, khususnya di kawasan keselamatan perairan Timur Sabah (ESSZONE), bagi membanteras sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung salah laku jenayah maritim di perairan Tawau diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999.
TAMAT
