Ranau, 23 Dis-Kerajaan Negeri Sabah terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya menerusi Program Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Sabah dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah (KKRUS) yang dilaksanakan di daerah ini, pagi tadi.
Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, program berkenaan bertujuan mendidik serta menyemai kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan khususnya ketika musim perayaan.
Beliau menegaskan keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama dan kerajaan negeri melalui MKJR Sabah serta KKRUS akan terus komited melaksanakan kempen seumpama itu secara berterusan demi kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pengguna jalan raya supaya memandu secara berhemah, mematuhi had laju, tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta memastikan kenderaan dan peralatan keselamatan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.
“Utamakan keselamatan kerana nyawa tidak ternilai. Semoga perjalanan pergi dan balik semua pengguna jalan raya sentiasa selamat,” katanya.
TAMAT
