LELAKI 57 TAHUN MAUT DIPERCAYAI DIBAHAM BUAYA DI KAMPUNG BATU PUTIH, KINABATANGAN

sabahheadlines
2 Min Read

KINABATANGAN, 18 JULAI– Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai dibaham seekor buaya ketika mencuci bot di Kampung Batu Putih, di sini, petang semalam.

Mangsa, Rusli Mardin, 57, dilaporkan hilang selepas diserang reptilia itu pada kira-kira jam 6.31 petang, sebelum pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999.

Komander Operasi, PBK I Jasmani Osni berkata, sebaik tiba di lokasi pada jam 7.10 malam pasukan bomba dimaklumkan oleh saksi yang juga anak mangsa bahawa kejadian berlaku ketika mereka sedang mencuci bot di kawasan sungai berkenaan.

Menurutnya, saksi melihat ayahnya dibaham seekor buaya sebelum mangsa hilang daripada pandangan.

“Pasukan bomba segera menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di permukaan air menggunakan kaedah water surface searching.

“Bagaimanapun keadaan di lokasi yang semakin gelap menyukarkan operasi menyebabkan pencarian ditangguhkan pada jam 8.45 malam dan disambung semula keesokan harinya,” katanya.

Beliau berkata, pada hari kedua operasi pihak bomba menerima maklumat daripada orang awam bahawa mangsa ditemukan pada jam 4.45 pagi kira-kira 500 meter ke hilir dari lokasi mangsa dipercayai dibaham buaya.

Katanya, pemeriksaan mendapati keadaan anggota badan mangsa masih lengkap namun terdapat kesan gigitan pada bahagian perut dan leher sebelah kanan.

“Pasukan bomba membantu mengangkat mangsa dari tebing sungai ke rumah mangsa sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak polis di lokasi kejadian.”Mayat kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi yang melibatkan enam anggota BBP Kinabatangan dengan bantuan empat anggota PDRM dan lima anggota RELA itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 8 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

Sementara itu Ketua Balai BBP Kinabatangan PPgB Suriyadi Darwis mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti di kawasan sungai yang dikenal pasti sebagai habitat buaya terutama di kawasan berisiko tinggi di daerah Kinabatangan.

Share This Article