KOTA KINABALU,18 Dis- Scott Ollerenshaw meletakkan jawatan sebagai Pengarah Teknikal dan Sukan Sabah FC berkuat kuasa 14 Disember lalu berikutan komitmen keluarga serta cabaran kesihatan yang dihadapi ibu bapanya di Australia.
Ollerenshaw, yang menetap di Sabah selama 31 tahun, menyifatkan keputusan itu sebagai sukar dan penuh emosi, sambil menegaskan Sabah FC sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hidupnya sejak tiba di Kota Kinabalu pada 1994 sebelum mencipta karier cemerlang sebagai pemain.
Beliau merupakan sebahagian daripada skuad Sabah yang menjuarai Piala FA 1995 dan Liga Perdana Malaysia 1996, kejayaan yang disifatkannya sebagai antara kenangan paling berharga dalam kerjaya bola sepaknya.
Pada 2021, Ollerenshaw kembali menyertai Sabah FC selepas dilantik sebagai Pengarah Teknikal dan Sukan, dengan tanggungjawab mengemudi kebangkitan kelab tersebut.
Di bawah kepimpinannya, Sabah FC menamatkan saingan Liga Super Malaysia di tempat ketiga selama tiga musim berturut-turut, mara ke separuh akhir Piala AFC serta layak ke final Piala FA 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukan kelab sebagai antara pasukan disegani di negara ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Sabah FA, termasuk Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin atas visi mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri, serta Datuk Shahelmey Yahya atas peranan menangani cabaran kewangan bagi memastikan pasukan kekal stabil dan berdaya saing.
TAMAT
