KOTA KINABALU, 25 Feb — Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) kini memenuhi sepenuhnya piawaian keselamatan kebakaran selepas menamatkan projek naik taraf menyeluruh bernilai RM15 juta yang dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.
Bangunan yang telah beroperasi lebih empat dekad itu menerima Sijil Perakuan Bomba baharu daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sekali gus memperbaharui pensijilan yang kali terakhir diperoleh pada 1990.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kerja-kerja penambahbaikan dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan serta keselesaan pengguna, di samping memastikan bangunan berkenaan mematuhi sepenuhnya keperluan ditetapkan pihak bomba.
Menurutnya, antara skop utama naik taraf termasuk penggantian 12 lif, pembaharuan eskalator, pembaikan kebocoran bumbung serta pemasangan dan penambahbaikan sistem keselamatan kebakaran mengikut spesifikasi semasa.
Beliau menegaskan aspek penyelenggaraan dan latihan keselamatan kebakaran perlu diteruskan secara berkala dalam kalangan warga kerja bagi memastikan tahap kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap optimum.
Sementara itu, Pengarah JBPM Sabah, Mohd Pisar Aziz, memuji komitmen MUIS dalam mematuhi kehendak perundangan berkaitan Perakuan Bomba serta memastikan semua peralatan dan sistem keselamatan berada dalam keadaan baik dan berfungsi.
Majlis penyerahan sijil itu turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad, Setiausaha MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali serta Pengarah Wisma Harta Sdn Bhd, Abd Wahab Ag Yusof.
TAMAT
