KOTA KINABALU,31 OGOS – Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin hari ini berkenan menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 peringkat Negeri Sabah yang berlangsung meriah di Dataran Bandaran, Jalan Tun Fuad Stephens di sini.
Kehadiran pasangan kenamaan itu turut menyemarakkan sambutan yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana penuh patriotisme, perpaduan dan semangat cintakan negara.
Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya; Timbalan-Timbalan Ketua Menteri serta anggota Kabinet Negeri.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainuddin Aman bersama isteri, selain ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan serta tetamu kehormat lain.
Sambutan yang berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan itu dimeriahkan dengan pelbagai acara dan persembahan yang mengetengahkan semangat patriotisme serta keharmonian rakyat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang.
Antara acara yang mencuri perhatian ialah persembahan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mempamerkan kecekapan serta kesiapsiagaan anggotanya dalam melaksanakan operasi menyelamat khususnya ketika berdepan situasi kecemasan, bencana dan kebakaran.
Turut menarik perhatian orang ramai ialah perarakan pelbagai jenis kenderaan termasuk koleksi kereta antik, kenderaan mewah dan moden serta kenderaan berteknologi elektrik.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 peringkat Sabah itu bukan sahaja menjadi platform meraikan kemerdekaan negara malah mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat Sabah dalam mempertahankan keharmonian serta menyemarakkan rasa cintakan Malaysia.
Ia turut menjadi wadah untuk memperkukuh semangat patriotisme dalam kalangan rakyat khususnya generasi muda agar terus menghargai keamanan, kemakmuran dan kepelbagaian yang menjadi kekuatan negara.
