PAPAR-23 Dis, Empat individu terbabit dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Pan Borneo hadapan Taman Perumahan Nagapas, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.49 petang itu kemalangan melibatkan sebuah Toyota Land Cruiser Prado dan sebuah Proton Waja.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan bin Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 13 kilometer.
“Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 5.06 petang dan mendapati terdapat empat mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Dua mangsa berada di dalam Proton Waja, dengan seorang mengalami kecederaan manakala seorang lagi dilaporkan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, dua lagi mangsa yang berada di dalam Toyota Land Cruiser Prado dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mangsa yang cedera, seorang lelaki berusia 28 tahun dan merupakan warga asing berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum diberikan rawatan awal di lokasi kejadian.
“Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Papar menggunakan jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Bomba untuk rawatan lanjut,” katanya.
Operasi melibatkan enam anggota BBP Papar diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Hamdani bin Mohd Harith dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.21 petang selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi berada dalam keadaan selamat dan terkawal.
TAMAT
