DUA WANITA CEDERA RINGAN KERETA TERBABAS MASUK PARIT

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN,8 MEI- Dua wanita berdepan detik mencemaskan selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam parit di Jalan Sungai Batang, Batu 10, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, mangsa masing-masing berusia 21 dan 26 tahun dilaporkan tersepit di dalam kenderaan sebelum berjaya diselamatkan pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Penguasa Bomba Jimmy Lagung berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 7.21 malam.

“Sebaik tiba, didapati sebuah kenderaan persendirian terbabas dan masuk ke dalam parit. Dua mangsa wanita yang tersepit berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Beliau berkata, seorang mangsa diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala seorang lagi dihantar ke hospital menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Operasi dikawal pada jam 7.30 malam dan ditamatkan lapan minit kemudian selepas pemeriksaan mendapati keadaan di lokasi selamat.

Share This Article