ABANG TEMBAK ADIK HINGGA MAUT , SUSPEK TURUT MAUT DITEMBAK POLIS DI TENOM

sabahheadlines
2 Min Read

TENOM, 31 Mac – Seorang lelaki maut selepas dipercayai ditembak abangnya sendiri menggunakan senjata buatan sendiri jenis bakakuk dalam kejadian di Kampung Kangkawang, di sini, pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi ITU mangsa berusia 54 tahun dilaporkan mengalami lapan kesan tembakan pada badan.

Suspek berusia 57 tahun yang bertindak agresif serta enggan menyerah diri turut disahkan maut selepas ditembak dalam operasi polis di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima maklumat awal mengenai insiden itu selepas dimaklumkan berlaku kejadian tembakan melibatkan orang awam di kampung berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa merupakan adik kepada suspek dan mengalami lapan kesan tembakan di bahagian belakang badan.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan tiga pegawai bersama anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian penduduk kampung memaklumkan suspek berada di dalam rumah sambil memegang bakakuk dan mengugut untuk menembak sesiapa sahaja yang menghampiri,” katanya.

Beliau berkata, pasukan polis kemudian membuat kepungan di rumah suspek dan mengarahkannya keluar serta menyerah diri sebanyak tiga kali namun arahan tersebut tidak diendahkan.

Katanya, beberapa das gas pemedih mata dilepaskan ke dalam rumah bagi memaksa suspek keluar namun lelaki itu terus berdegil sebelum bertindak meluru ke arah dapur sambil mengacukan senjata ke arah seorang pegawai polis.

“Seorang pegawai polis kemudian melepaskan tiga das tembakan bagi mempertahankan diri selepas suspek mengancam keselamatan pasukan.

“Tembakan tersebut mengenai lengan kanan, dada kiri dan rusuk kiri suspek,” katanya.

Tambahnya, pasukan kemudian menyerbu masuk ke dalam rumah dan mendapati suspek terbaring di bahagian dapur bersama senjata api miliknya di sisi.

“Hasil pemeriksaan mendapati senjata bakakuk itu masih mempunyai satu peluru hidup dalam keadaan sedia digunakan,” katanya.

Menurut beliau, polis turut merampas beberapa barang kes termasuk bakakuk, peluru hidup, kelongsong peluru serta sebilah parang panjang.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mempunyai masalah mental bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 302 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Share This Article