KM, ISTERI & MUTIARA SANTUNI IBU ALLAHYARHAM ZARA QARINA

sabahheadlines
2 Min Read

sh@ Syarmilah Salleh

KOTA KINABALU (13 OGOS): Kerajaan mengambil berat terhadap kes Allyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata ketika arwah menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 1 Kota Kinabalu lagi kerajaan telah memperlihatkan keseriusan terhadap kes itu.

“Saya sendiri telah mengarahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif bersama pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar untuk menziarahi arwah di hospital,” katanya di sini hari ini.

Sebelum itu Hajiji bersama isteri, Datuk Hajah Juliah Salag, bertemu ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Puan Noraidah Lamat di Sri Gaya bagi menyampaikan takziah dan simpati mendalam.

Pertemuan itu turut dihadiri anggota Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Sabah (Mutiara GRS).

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya amat bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah. Kami mendoakan agar mereka diberi kekuatan menghadapi dugaan berat ini,” kata Hajiji.

Katanya, gelombang solidariti #JusticeforZara yang digerakkan oleh netizen dalam menuntut keadilan buat mangsa, memang baik, namun orang ramai perlu mengelak membuat spekulasi yang tidak wajar.

“Kita serahkan kepada pihak polis dan pihak berwajib lain untuk membuat siasatan dan berharap pihak berkuasa dapat melengkapkan siasatan secepat mungkin demi mendapatkan keadilan untuk semua pihak”, katanya.

Sementara itu Juliah berkata, beliau amat memahami perasaan seorang ibu yang kehilangan anak tersayang.

“Keselamatan anak-anak, khususnya pelajar asrama, mesti diutamakan agar tragedi seperti ini tidak berulang. ,” katanya.

Allahyarhamah Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asramanya.

Tamat

Share This Article