Kerajaan Sabah Sokong Usaha Shell Tingkat Penglibatan Syarikat Tempatan OGSE

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 5 Feb – Kerajaan Sabah menyambut baik langkah Shell Malaysia yang terus memberi tumpuan kepada penglibatan syarikat tempatan dalam sektor minyak dan gas, sekali gus membantu memperluas peluang ekonomi serta mengukuhkan pembangunan keusahawanan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri komited memperkasa pemain industri tempatan menerusi sasaran peningkatan nilai kontrak Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) yang dianugerahkan kepada syarikat Sabah sehingga 100 peratus.

Menurut beliau, pendekatan itu bukan sahaja memperkukuh kedudukan syarikat tempatan dalam rantaian industri tenaga, malah dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta mempercepat pemindahan teknologi kepada rakyat.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Pengerusi Shell Malaysia merangkap Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia, Siti Hurrairah Sulaiman di Menara Kinabalu, semalam.

Dalam sesi itu, Siti Hurrairah turut berkongsi perkembangan operasi Shell di Sabah termasuk pelaksanaan beberapa projek huluan baharu dan sedia ada, selain menerangkan usaha syarikat dalam membangunkan usahawan tempatan melalui program Shell LiveWIRE.

Hajiji turut menegaskan keperluan memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Shell Malaysia, khususnya dalam meningkatkan keupayaan teknikal syarikat OGSE Sabah, pembangunan vendor tempatan serta penyediaan peluang latihan dan pembangunan modal insan.

Turut hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Pengurus Besar Sabah Shell, Alexon Jong; Pengurus Besar Perhubungan Korporat Malaysia Timur Shell Malaysia, Jonathan Jolly serta Penasihat Perhubungan Korporat Malaysia Timur Shell Malaysia, Liz Kumar.

TAMAT

Share This Article