80 RESORT TANPA LESEN DI SEMPORNA BERDEPAN TINDAKAN TEGAS

sabahheadlines
2 Min Read

KUNAK, 19 APRIL – Kira-kira 80 resort di daerah Semporna yang masih belum berdaftar dan tidak memohon lesen pelancongan berdepan tindakan penguatkuasaan termasuk kemungkinan diroboh sekiranya didapati melanggar undang-undang sedia ada.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr Andi Shamsureezal Mohd Sainal berkata, tindakan tegas itu akan dilaksanakan selepas tempoh bertenang yang diberikan sebelum ini tamat.

Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat hasil mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin.

“Setakat ini, sebanyak 190 resort dikenal pasti beroperasi di seluruh Semporna. Daripada jumlah itu hanya 46 resort memiliki lesen sah manakala 62 lagi sedang dalam proses permohonan.

“Bagaimanapun kira-kira 80 resort masih belum mengemukakan sebarang permohonan lesen,” katanya.

Beliau menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi mengesan resort serta syarikat yang masih belum berdaftar di bawah peraturan pelancongan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kem STEM Hijau 2026 Daerah Kunak di Tasik Impian, di sini, pada Sabtu.

Dalam masa sama beliau menyeru pengusaha resort yang belum memohon lesen supaya segera berbuat demikian bagi memastikan operasi mereka sah di sisi undang-undang.

“Tindakan undang-undang akan diambil berdasarkan kesalahan yang dilakukan. Jika melibatkan kesalahan tanah, tindakan akan diambil mengikut undang-undang tanah termasuk kemungkinan pengusiran atau perobohan.

“Bagi kesalahan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), tindakan seperti kompaun atau perobohan juga boleh dikenakan,” jelasnya.

Share This Article