TIGA INDIVIDU DITAHAN DALAM OPS TAPIS DI SANDAKAN

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 12 APRIL– Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita dalam operasi khas membanteras penyalahgunaan dadah yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini, petang hingga malam kelmarin.

Operasi bermula kira-kira jam 4 petang hingga 8.30 malam itu dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Sandakan dengan memberi tumpuan di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Manila, Batu 12.

Dalam serbuan pertama seorang lelaki diberkas ketika berada di sebuah premis kosong selepas dipercayai memiliki sebotol cecair disyaki air ketum. Suspek kemudiannya dibawa ke pejabat BSJND untuk ujian saringan air kencing kemudianya mendapati dia positif dadah jenis ketamin.

Menurut polis lelaki berkenaan ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Operasi kemudian diteruskan di Kampung Sim-Sim dan menahan dua orang suspek termasuk seorang wanita di sebuah rumah di kawasan berkenaan kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu.

Kedua-dua suspek dibawa ke pejabat BSJND untuk ujian saringan dan hasil ujian awal mendapati mereka positif methamphetamine serta amphetamine. Mereka kini disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesemua suspek telah direman dan ditempatkan di lokap IPD Sandakan bagi membantu siasatan lanjut.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Sandakan George Abd Rakman menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan terus dipergiatkan sebagai usaha berterusan pihak polis dalam memerangi aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.

Share This Article