TAWAU, 19 APRIL- Seramai 170 Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di daerah ini menerima watikah pelantikan dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Dewan SJKC Yuk Chin hari ini sebagai langkah memperkukuh jaringan keselamatan dalam komuniti pendidikan.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Kolonel Kehormat (PA) Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan. Turut hadir Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis Jasmin Hussin serta Pegawai Pendidikan Daerah Tawau, Tuan Matnoor Haji Sima bersama barisan pegawai kanan, pengetua, guru besar dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Dalam ucapannya, Nizam berkata pelantikan PPS merupakan pendekatan strategik bagi memperkukuh kolaborasi antara pihak polis dan sekolah dalam usaha menjamin keselamatan pelajar.
Menurutnya, PPS berfungsi sebagai penghubung utama yang bukan sahaja menyelaras komunikasi antara pihak sekolah dan polis malah bertindak sebagai barisan hadapan dalam membendung pengaruh negatif serta gejala sosial dalam kalangan pelajar.
“Pendekatan menyeluruh melibatkan semua pihak termasuk ibu bapa, warga pendidik dan agensi penguat kuasa amat penting bagi memastikan persekitaran pembelajaran kekal selamat dan kondusif,” katanya.
Sementara itu, Jasmin berkata pelantikan berkenaan diyakini dapat meningkatkan kecekapan usaha pencegahan jenayah di peringkat sekolah melalui pemantauan berterusan dan tindakan awal.
Beliau menambah PPS turut memainkan peranan penting dalam membantu pihak polis menyalurkan maklumat, memberi bimbingan serta mendekati pelajar secara lebih menyeluruh dalam menangani isu disiplin dan keselamatan.
Dalam pada itu Matnoor dalam ucapan alu-aluan menegaskan kepentingan hubungan erat antara institusi pendidikan dan pihak berkuasa bagi memastikan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku, diikuti bacaan ikrar, persembahan sambut tamu serta bacaan doa sebelum diteruskan dengan ucapan rasmi.
Kemuncak program menyaksikan penyampaian watikah pelantikan kepada PPS yang melibatkan 85 sekolah rendah dan menengah di seluruh daerah ini.
Penganjuran program berkenaan dilihat sebagai platform signifikan dalam memperkukuh sinergi antara Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Pendidikan Daerah sekali gus memastikan persekitaran sekolah kekal selamat serta kondusif demi kesejahteraan generasi muda.
