DUA DITAHAN DALAM OP MABUK DI PENAMPANG

sabahheadlines
2 Min Read

PENAMPANG, 5 APRIL — Dua lelaki tempatan ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam satu operasi khas Op Mabuk yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, awal pagi tadi.

Operasi berkenaan dilaksanakan di Jalan Penampang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang, dengan fokus pemantauan terhadap pemandu yang melanggar peraturan jalan raya khususnya kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kedua-dua individu terbabit ditahan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melebihi had kandungan alkohol yang dibenarkan.

“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda antara RM10,000 hingga RM30,000, serta hilang kelayakan lesen memandu selama tempoh dua tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam operasi sama, polis turut mengeluarkan sembilan saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas, termasuk empat kes melibatkan pemandu yang tidak memiliki lesen memandu sah.

Operasi yang diketuai oleh Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Rozami Hj Ahmad itu melibatkan tujuh anggota polis. Sepanjang operasi dijalankan seramai 52 individu dan 41 kenderaan telah diperiksa.

Menurut Sammy, pelaksanaan Op Mabuk akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah proaktif bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya serta memastikan pengguna mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak memandu dalam keadaan mabuk kerana ia bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

Share This Article