SANDAKAN, 7 Nov — Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Bersatu Sabah (PBS), Kasirin Kamiran, menyatakan kesediaannya membantu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperkukuh sokongan di Zon 5 menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Kasirin yang juga Ahli Majlis Perbandaran Sandakan berkata penglibatannya dalam perjuangan PBS sejak muda mendewasakan beliau dalam memahami realiti politik berbilang kaum di Sabah.
“PBS bukan lagi parti dominan tetapi kerjasama dalam GRS membuktikan perjuangan parti ini masih relevan untuk membela rakyat pelbagai kaum,” katanya.
Beliau turut menyerahkan kepada pucuk pimpinan PBS khususnya Pemangku Presiden Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam untuk menilai kesediaannya menawarkan diri sebagai calon di kerusi DUN Sungai Sibuga.
“Saya bukan menyaingi rakan-rakan GRS tetapi mahu memberi ruang kepada kepimpinan menilai kepelbagaian tokoh dalam gabungan ini,” ujarnya.
Kasirin, anak jati Kampung Sungai Batang Batu 11, mewarisi semangat perjuangan daripada arwah bapanya Kamiran Abba mantan AJK Bahagian PBS yang sezaman dengan mantan ADUN Sungai Sibuga, Datuk Tien Fu Yuen.
Beliau yakin PBS masih mempunyai kekuatan di Zon 5, khususnya di Sungai Sibuga, yang pernah menjadi kubu kuat parti itu antara tahun 1985 hingga 1990.
“Jika semangat muafakat dalam GRS diperkukuh, saya yakin sokongan rakyat akan kembali memuncak,” katanya.
TAMAT
