Buruh Warga Tempatan Ditahan, Disyaki Miliki Dadah

sabahheadlines
1 Min Read

TAWAU, 1 Feb — Polis menahan seorang lelaki warga tempatan yang bekerja sebagai buruh selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam satu operasi di sekitar bandar ini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau kira-kira jam 7 malam di sebuah penginapan di Jalan Sabindo, susulan maklumat risikan yang diperoleh pihak polis.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek berusia 37 tahun itu memiliki satu paket plastik lutsinar berisi bahan hablur jernih yang dipercayai syabu dengan anggaran berat 0.13 gram,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, namun semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah terdahulu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama berkaitan penyalahgunaan dadah.

ACP Jasmin menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang kes dadah walaupun melibatkan jumlah rampasan yang kecil kerana ancaman dadah boleh menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.

TAMAT

Share This Article