2,978 Mangsa Banjir Berlindung di 27 PPS di Sabah

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 17 Sept – Jumlah mangsa banjir di Sabah terus meningkat dengan seramai 2,978 orang daripada 825 ketua isi rumah (KIR) kini ditempatkan di 27 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tujuh daerah terjejas.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah yang memetik laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), daerah Beaufort, Papar dan Sipitang merekodkan peningkatan jumlah mangsa, manakala di Penampang, Membakut dan Putatan menunjukkan penurunan.

Beaufort mencatatkan jumlah 288 mangsa daripada 91 KIR, Membakut (930 mangsa daripada 276 KIR) serta Penampang (720 mangsa daripada 189 KIR).

Selain banjir, bencana tanah runtuh turut dilaporkan di beberapa lokasi termasuk Penampang, Kota Kinabalu dan Papar yang mengakibatkan 13 kematian setakat ini.

Antara PPS yang dibuka sejak 9 September lalu ialah PPK Selagon, SK St Paul Kolopis, Dewan Huguan Siou, Kompleks Sukan Penampang, Dewan Ramayah, SMK Bongawan, Dewan Masyarakat Papar serta Dewan Mini Mesapol.

JPBN Sabah memaklumkan, pemantauan berterusan dilaksanakan di lokasi terjejas dengan kerjasama agensi penyelamat, manakala proses pendaftaran mangsa masih berjalan di beberapa PPS termasuk Dewan Terbuka Membakut.

Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

TAMAT

Share This Article