MAJLIS HARI ETNIK SABAH PERKUKUH WARISAN BUDAYA SEMPENA ULANG TAHUN KE-75 TYT

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 26 APRIL- Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menghadiri acara kemuncak Majlis Hari Etnik Sabah (HETS) 6.0 yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, malam kelmarin..

Majlis berkenaan dianjurkan bersempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa bin Haji Aman dan diserikan dengan kehadiran beliau bersama Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah binti Haji Tussin.

Dalam perkembangan berkaitan, Nizam yang juga Pengerusi Penganjur memaklumkan penganjuran edisi kali ini membawa tema “Budaya Kita, Kita Jaga”sekali gus mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkasa serta memelihara warisan budaya negeri.

“Penganjuran kali ini cukup bermakna kerana bukan sahaja menghimpunkan pelbagai etnik di Sabah malah menjadi simbol perpaduan rakyat di bawah aspirasi Sabah Maju Jaya,” katanya.

Majlis turut mencatat sejarah tersendiri apabila memperkenalkan Perarakan Budaya Sulung yang melibatkan kira-kira 560 peserta daripada pelbagai persatuan etnik menampilkan keunikan warisan masing-masing buat julung kali.

Selain persembahan kesenian tradisional, acara itu turut diisi dengan penyampaian Anugerah Peneraju Etnik serta tayangan video khas yang menggambarkan kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat Sabah. Detik kemuncak turut diserikan dengan lafazan ikrar oleh presiden-presiden pertubuhan etnik sebagai simbol tekad bersama dalam memelihara identiti bangsa.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri terus komited memperkukuh sektor pelancongan dan kebudayaan menerusi peruntukan berjumlah RM174.45 juta sejajar usaha memastikan pembangunan ekonomi kreatif kekal mampan untuk generasi akan datang.

Dalam pada itu beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua presiden pertubuhan serta persatuan etnik atas sokongan padu dalam menjayakan penganjuran majlis berkenaan.

Turut hadir Pembantu Menteri kementerian berkenaan Anil Sandhu; Setiausaha Tetap, Mansur Asun; Timbalan Setiausaha Tetap (Kemajuan Sukan), Adanan Atin; serta Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan Belia), Mary Paul Mijong Dagul bersama pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Share This Article