ADUN MELALAP TERGELINCIR DI TANDAS VIP KLIA, KEPALA TERPAKSA DIJAHIT

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU,23 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar mengalami kecederaan di kepala selepas tergelincir dan terjatuh di tandas ruang menunggu kenamaan (VIP) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi.

Kejadian itu menyebabkan kepalanya terhantuk ke lantai sehingga memerlukan rawatan jahitan.

Menerusi hantaran di Facebook, Jamawi memaklumkan insiden berlaku ketika beliau menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar.

“Permukaan lantai tandas yang licin menyebabkan saya tergelincir dan kepala terhentak ke lantai,” katanya.

Beliau kemudian mendapatkan rawatan kecemasan di Menara Medical Clinics KLIA dan turut merakamkan penghargaan kepada pasukan doktor serta jururawat yang memberikan rawatan, termasuk menjahit luka di kepalanya.

Susulan kejadian itu, Jamawi menggesa Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengambil tindakan segera bagi meningkatkan aspek keselamatan kemudahan tandas di lapangan terbang berkenaan.

Antara langkah yang dicadangkan termasuk menambah baik permukaan lantai tandas bagi mengelakkan kejadian tergelincir, menyediakan laluan kecemasan ke klinik berhampiran serta memberikan latihan rawatan awal kecemasan kepada kakitangan bertugas.

Sebelum kejadian, Jamawi baru sahaja menamatkan perjalanan jauh dari Brasilia–Sao Paulo–Doha–KLIA dan dijadualkan meneruskan penerbangan pulang ke Kota Kinabalu pada jam 1.05 tengah hari ini.

Share This Article