BARTER TRADE BERPOTENSI RANCAKKAN EKONOMI SANDAKAN – HAZEM

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 28 APRIL – Perniagaan tukar barang atau barter trade berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Sandakan serta negeri Sabah secara keseluruhan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Haji Hazem Mubarak Tun Musa berkata, pendekatan itu bukan sahaja mampu merangsang aktiviti ekonomi malah berupaya menarik minat pelabur ke daerah berkenaan.

Menurutnya, kerajaan disaran mengkaji semula pelaksanaan barter trade sebagai satu inisiatif strategik dalam memperkukuh ekonomi tempatan.

“Barter trade merupakan salah satu potensi yang mampu mengangkat ekonomi dan dalam masa sama menarik pelabur untuk datang ke Sandakan,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar kerajaan pada Sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menetapkan syarat supaya semua pengusaha barter trade beroperasi secara berpusat di Sandakan Industrial Park bagi memudahkan pemantauan dan penguatkuasaan.

Dalam pada itu, Hazem juga menekankan keperluan rombakan terhadap kurikulum Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya selari dengan keperluan semasa industri.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan pelajar TVET khususnya anak Sabah mampu mengisi jawatan teknikal berkemahiran tinggi sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja luar.

“TVET perlu diperkasakan dengan menawarkan diploma atau sijil lanjutan dalam bidang berimpak tinggi seperti robotik, penyelenggaraan kenderaan, elektrik serta teknologi dron untuk pertanian moden dan automasi berasaskan kecerdasan buatan (AI),” jelasnya.

Beliau berharap usaha penambahbaikan itu dapat melahirkan tenaga kerja mahir yang lebih kompetitif dan memenuhi keperluan industri masa depan.

Share This Article