KOTA KINABALU, 20 JULAI – Kerajaan Persekutuan digesa mempertimbangkan kenaikan kuota subsidi diesel daripada 200 liter kepada sekurang-kurangnya 500 liter sebulan bagi pemilik kenderaan diesel di Sabah dan Sarawak khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Mansiung Banah berkata, walaupun menghormati usaha kerajaan Persekutuan melaksanakan penyasaran semula subsidi diesel, pelaksanaan had 200 liter sebulan dilihat tidak mengambil kira faktor geografi serta jarak perjalanan yang jauh di Sabah.
Beliau berkata, keadaan muka bumi Sabah yang luas dan taburan penempatan yang berjauhan menyebabkan keperluan penggunaan bahan api di negeri ini berbeza berbanding kawasan lain.
“Sebagai wakil rakyat, saya memahami usaha dan kepayahan kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan penstrukturan subsidi dengan mengambil kira kepentingan negara serta rakyat.
“Namun saya juga perlu menyuarakan bahawa subsidi diesel yang dihadkan kepada 200 liter itu tidak mencukupi untuk kawasan seperti Kuamut,” katanya ketika membahaskan isu berkenaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 hari ini.
Menurut Mansiung, perjalanan dari Kuamut ke Kota Kinabalu mengambil masa antara enam hingga tujuh jam pergi dan balik menyebabkan kuota 200 liter diesel boleh habis hanya untuk satu perjalanan sahaja.
“Bayangkan daripada Kuamut ke Kota Kinabalu mengambil masa enam hingga tujuh jam pergi balik. Saya tidak mempunyai angka jarak kilometer tetapi yang pasti 200 liter itu sudah habis untuk satu perjalanan.
“Itu hanya satu perjalanan sedangkan had 200 liter diberikan untuk kegunaan sepanjang sebulan,” katanya.
Beliau berkata, perbezaan keadaan antara Sabah dan Semenanjung perlu diberi perhatian kerana jarak perjalanan di Sabah jauh lebih panjang.
“Di Semenanjung perjalanan 30 minit mungkin sudah boleh merentasi dua atau tiga negeri. Tetapi di Sabah perjalanan lima hingga tujuh jam mungkin hanya melintasi dua atau tiga daerah sahaja,” katanya.
Sehubungan itu beliau berharap kerajaan negeri melalui jawatankuasa pemantauan subsidi diesel dan petrol yang ditubuhkan dapat membawa isu tersebut kepada perhatian kerajaan Persekutuan.
“Saya mohon supaya kerajaan negeri mengambil maklum perkara ini dan mempertimbangkan keperluan kawasan luar bandar. Kita mohon kuota ini dinaikkan daripada 200 liter kepada 500 liter bagi kawasan-kawasan seperti Kuamut dan kawasan pedalaman lain,” katanya.
Dalam pada itu Mansiung turut mencadangkan supaya kerajaan Persekutuan meneliti semula bentuk bantuan lain bagi membantu rakyat yang terkesan dengan perubahan struktur subsidi.
Katanya, dengan kedudukan kewangan negara yang semakin kukuh, kerajaan boleh mempertimbangkan penambahan penerima bantuan bersasar termasuk bantuan seperti Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR).
“Golongan inilah yang akan menjadi sasaran utama apabila berdepan dengan peningkatan kos sara hidup. Oleh itu, kita berharap kerajaan dapat melihat perkara-perkara yang boleh dibantu demi meringankan beban rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan sebarang dasar subsidi perlu mengambil kira realiti kehidupan rakyat Sabah terutama penduduk luar bandar yang bergantung kepada kenderaan persendirian untuk urusan pekerjaan, pendidikan dan kehidupan harian.
