POLIS PENAMPANG TUMPAS SINDIKET DADAH, DUA DITAHAN DALAM OPS BERASINGAN

sabahheadlines
1 Min Read

PENAMPANG, 8 JUN – Polis Daerah Penampang menahan dua individu tempatan serta merampas dadah disyaki ganja dalam dua operasi berasingan yang dijalankan sekitar Putatan dan Lok Kawi pada 4 Jun lalu.

Dalam operasi pertama di tepi jalan Putatan, seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan sebelum polis menemui lima paket plastik lut sinar berisi tumbuhan kering disyaki ganja dengan anggaran berat 22.85 gram.

Susulan tangkapan itu, operasi kedua diteruskan di kawasan Lok Kawi yang membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan berusia 37 tahun. Pemeriksaan lanjut menemukan 16 paket plastik lut sinar disyaki dadah jenis sama dengan anggaran berat 271.81 gram dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk pembungkusan serta pengedaran.

Jumlah keseluruhan rampasan dadah dalam kedua-dua operasi tersebut dianggarkan seberat 294.66 gram dengan nilai kira-kira RM2,950.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, manakala bagi tangkapan pertama turut disiasat di bawah Seksyen 39A(1) akta sama.

Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Erwansyah bin Abdul Basir berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan usaha membanteras aktiviti pengedaran dadah di daerah itu serta menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu siasatan.

Share This Article