sh@ Aleeya Villiamon
SANDAKAN (22 JUN): Perbincangan dan pengagihan kerusi dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan sudah pun bermula.
Bagaimana pun perbincangan dan pengagihan kerusi itu masih belum dimuktamatkan, kata Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Masiung Banah.
“Jika dengar kenyataan presiden parti dalam GRS khususnya pengerusi GRS, perbincangan itu sudah pun bermula cuma perlu dimuktamadkan seperti kawasan mana, berapa kerusi dan sebagainya,” katanya kepada media selepas merasmikan mesyuarat tahunan Gagasan Rakyat Gum-Gum di sini hari ini.
“Saya tidak terlibat dalam mesyuarat GRS tetapi setiap perbincangan akan dimaklumkan oleh presiden Gagasan yang juga pengerusi GRS,” katanya lagi.
Menurutnya presiden parti selalu memaklumkan mengenai perbincangan itu “dan kami memberikan pandangan mengenai perkara itu dan inilah pendekatan yang diambil oleh presiden parti.”
Beliau berkata Gagasan menyerahkan kepada presiden dan juga majlis presiden GRS untuk membuat keputusan.
Katanya keputusan yang dibuat itu sudah tentu mengambilkira apa yang disuarakan oleh rakyat.
“Suara rakyat adalah mereka mahu supaya negeri ini dipimpin oleh orang Sabah yang betasal daripada parti tempatan.
“Inilah mesej dan kehendak serta aspirasi rakyat hari ini,” katanya.
Menurutnya “kita kena akur kepada kehendak rakyat …mereka mahu parti lokal mengetuai atau menjadi dominan pada pilihan raya nanti.”
Kerana itu, katanya, GRS perlu bertanding 53 kerusi bagi menjadi dominan.
Menurutnya jika ianya tidak dilakukan ia pasti akan dipersoalkan oleh rakyat.
Mengenai soalan lain, Masiung berkata dia akan menyuarakan agar Gagasan Gum-Gum dipilih sebagai calon pada pilihan raya nanti.
Bagaimana pun, katanya keputusan itu akan diperbincangkan oleh kepimpinan parti.
Hadir sama Ketua Bahagiannya, Datuk Juslie Ajirol, YB Datuk Japari Waliam selaku Timbalan Ketua Bahagian.
Tamat
