KINABATANGAN, 11 FEBRUARI- Kontraktor yang gagal melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan perlu dikenakan tindakan tegas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Mohd Ismail Ayub berkata, kegagalan itu memberikan kesan kepada rakyat.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat oleh sektor Lebuh Raya Pan Borneo WP26, WP25 dan WP26 di Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini.
Taklimat itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti (KKRU), Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.
Taklimat itu antara lain membincangkan perkembangan pembinaan laluan itu yang melibatkan Jalan Kampung Lot M-Sukau (WP26), Sukau-Kampung Perpaduan Datuk Moh (WP25) dan Kampung Perpaduan Datuk Moh-Sungai Takala (WP24).
Mohd Ismail menyuarakan kebimbangannya mengenai pihak kontraktor yang gagal melaksanakan kerja-kerja baik pulih jalan yang sering menjadi tumpuan ramai di Lamag.
“Kita tidak boleh berkompromi dengan pihak yang gagal menyelenggara jalan sedia ada selain pelaksanaan lebuh raya Pan Borneo ini.
“Seperti semua sedia maklum, jalan di Lamag ini juga sering tular dan menjadi tumpuan,” katanya.
Katanya, pihak kementerian perlu mengambil langkah dengan meneliti serta mengambil langkah proaktif terhadap kontraktor yang gagal selepas pihak konsesi yang dipertanggungjawabkan telah tamat kontrak.
Katanya, pihak konsesi difahamkan turut tidak berjaya memperbaiki laluan itu dengan sebaiknya.
Dalam respon beliau kepada media, Joachim mahu permasalahan itu diatasi segera oleh pihak berwajib kerana semua perlu memainkan peranan agar pengguna jalan itu tidak secara terus terjejas dengan jalan rosak.
TAMAT
