KOTA KINABALU: Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 17 Februari ini sebagai antara usaha memperkukuh perpaduan serta mempromosi kepelbagaian budaya negeri.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Arifin memaklumkan program itu dijadualkan bermula jam 10 pagi hingga 2 petang di Dewan Kinabatangan, Aras 2, dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah dijangka menyerikan majlis berkenaan.
Menurut beliau, penganjuran acara terbuka itu bukan sekadar tradisi tahunan, sebaliknya turut menjadi medium mempererat hubungan masyarakat pelbagai kaum di samping memperkasa tarikan pelancongan berasaskan budaya.
Katanya, orang ramai termasuk sekolah, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta persatuan-persatuan etnik dijemput hadir bagi memeriahkan suasana dalam semangat muhibah.
Pelbagai aktiviti turut dirancang antaranya persembahan tarian singa, upacara Yee Sang, paluan mercun serta persembahan hiburan daripada artis tempatan dan luar negara.
Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai hidangan tradisional yang disediakan khas, termasuk sajian istimewa daripada beberapa hotel terkemuka di negeri ini.
Jafry berkata, acara seumpama itu diyakini mampu memberi impak positif kepada sektor pelancongan serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
TAMAT
