KOTA KINABALU, 5 Feb – Bahagian Pembangunan Organisasi (BPO), Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPANS) bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah mengadakan sesi lawatan kerja dan penandaarasan ke Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak pada 2 hingga 3 Februari lalu.
Lawatan itu bertujuan memperkukuh perancangan sumber manusia khususnya berkaitan struktur perjawatan, penyusunan carta organisasi serta pengagihan fungsi dan peranan dalam organisasi, selain menjadi platform pertukaran pandangan dan perkongsian amalan terbaik antara kedua-dua negeri.
Sesi lawatan dimulakan dengan ucapan alu-aluan Pengarah JPS Sarawak, Datu Ir. Ts. Ahmad Denney Ahmad Fauzi sebelum delegasi diberi taklimat rasmi oleh bahagian-bahagian berkaitan serta perkongsian mengenai fungsi teras dan strategi operasi jabatan berkenaan.
Delegasi turut dibawa melawat beberapa projek utama termasuk Sistem Tebatan Pantai dan Sistem Saliran di Skim Saliran Sebangan Bajong, Samarahan (Fasa 1) serta Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Daerah Bau.
Lawatan tapak itu memberi pendedahan langsung mengenai pelaksanaan projek berimpak tinggi, pengurusan infrastruktur saliran serta operasi Sistem Amaran Banjir, sekali gus membantu mengenal pasti keperluan kompetensi teknikal dan penempatan sumber manusia bagi memastikan operasi serta penyelenggaraan sistem dapat dilaksanakan secara mampan.
Delegasi lawatan diketuai Pengarah JPS Sabah, Tuan Ir. Haji Siraja Haji Bashora bersama Pengarah BPO JPANS, Puan Nekmah Abdullah dan disertai wakil Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Puan Rumaizah Ajmain serta pegawai kanan JPS Sabah dan BPO JPANS.
Hasil lawatan itu diharap dapat memperkukuh hubungan strategik antara agensi selain meningkatkan kecekapan pengurusan sumber manusia dan penyampaian perkhidmatan awam sejajar keperluan semasa.
TAMAT
