SYARMILAH SALLEH
LAHAD DATU (9 MEI): Sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Lahad Datu, semasa rondaan rutin di perairan Kampung Bakapit, semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, penahanan dilakukan ketika rondaan di bawah Ops Pluto Timur 2/2013 dan Ops Tiris 3.0.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan mempamerkan lampu berwarna putih-hijau, namun tidak mematuhi peraturan yang mewajibkan sebarang pertukaran nahkoda dilaporkan secara rasmi.
Pihaknya memandang serius ketidakpatuhan seperti ini kerana ia membabitkan isu keselamatan dan kawalan terhadap aktiviti perikanan.
“Mana-mana pertukaran nahkoda wajib dimaklumkan untuk memastikan lesen dan kelayakan individu yang mengemudi bot adalah sah dan diiktiraf,” katanya.
Vesel tersebut dibawa ke Jeti Perikanan Lahad Datu dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Nilai tangkapan dianggarkan bernilai RM300,000.
Kes disiasat di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 (Kesalahan Bot Kecil Sabah 2002) kerana gagal mematuhi syarat pertukaran nahkoda.
Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut kepada Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu melalui WhatsApp di talian 016-930 5772 atau menghubungi talian MERS 999 untuk tindakan segera.
TAMAT
