KOTA KINABALU, 31 Jan – Aktiviti kemasyarakatan berasaskan riadah terus menjadi medium penyatuan komuniti apabila Program Jom Memancing dianjurkan di Jeti Konkrit Kampung Tanjung Aru Lama, melibatkan penyertaan belia setempat serta penduduk sekitar.
Program anjuran Kelab Komuniti Belia Tanjung Aru dengan kerjasama Belia Masjid Al-Khauthar itu telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Putatan, YB Datuk Ir. Shahelmey Yahya, yang turut meluangkan masa menyantuni para peserta.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, YB Shah Alfie Yahya serta Pengerusi Kelab Komuniti Belia Tanjung Aru, Mohd Shukry Abdul Kadir.
Seramai 50 peserta menyertai program berkenaan yang bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat dan interaksi sosial, malah berpotensi menjadikan aktiviti memancing sebagai sumber ekonomi dan tarikan pelancongan komuniti setempat.
TAMAT
