Lelaki Warga Asing Ditahan, Disyaki Ugut Sebar Bahan Peribadi Wanita

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU, 31 Jan – Polis menahan seorang lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam kes ugutan penyebaran video dan gambar peribadi seorang wanita di Merotai Besar, di sini, dalam tempoh kurang 24 jam selepas laporan dibuat.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu diberkas oleh anggota Balai Polis Bombalai kira-kira jam 5.45 petang di sekitar kawasan gerai Kampung Merotai Besar.

Beliau berkata, tangkapan tersebut susulan aduan seorang wanita berusia 20-an yang mendakwa diugut oleh seorang lelaki dikenali melalui beberapa talian telefon, dengan ancaman menyebarkan bahan peribadi sekiranya wang tidak diserahkan.

“Siasatan awal mendapati suspek turut bertindak mengganggu mangsa secara berterusan, termasuk menghubungi mangsa pada waktu malam sehingga menjejaskan keharmonian rumah tangganya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, mangsa mendakwa terpaksa menyerahkan sejumlah wang kerana bimbang bahan peribadi itu disebarkan kepada umum.
Hasil pemeriksaan ke atas suspek turut membawa kepada penemuan sebilah pisau berukuran kira-kira 16 sentimeter serta dua unit telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

ACP Jasmin menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ugutan, pemerasan atau penyalahgunaan bahan peribadi yang melanggar undang-undang.

TAMAT

Share This Article