TAWAU, 27 Jan — Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sabah menahan dua wanita dalam dua kes berasingan di daerah ini hari ini kerana disyaki mengemukakan maklumat palsu berkaitan permohonan dokumen pengenalan diri.
Dalam tangkapan pertama, seorang wanita tempatan ditahan kira-kira jam 12 tengah hari di JPN Daerah Tawau selepas disyaki memberi keterangan palsu sebagai pemohon bagi permohonan Daftar Lewat Kad Pengenalan.
Tangkapan kedua melibatkan seorang wanita warga emas yang ditahan sekitar jam 2 petang di lokasi sama. Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memberikan maklumat palsu dengan mengaku sebagai ibu semasa permohonan kad pengenalan yang dikemukakan di JPN Daerah Kinabatangan.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
JPN Sabah menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pemalsuan maklumat atau penipuan dokumen rasmi, selaras dengan usaha berterusan memperkukuh integriti dan keselamatan sistem pendaftaran negara.
TAMAT
