BBP Keningau Perkukuh Kesiapsiagaan Kebakaran Melalui Pemeriksaan dan Pelan Pra-Insiden

sabahheadlines
1 Min Read

KENINGAU, 29 Jan — Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau meneruskan usaha meningkatkan tahap keselamatan kebakaran menerusi pelaksanaan pemeriksaan serta penyediaan Rancangan Pra-Insiden Kebakaran (RPIK) di beberapa premis sekitar daerah ini, hari ini.

Aktiviti yang bermula seawal jam 9 pagi itu diketuai oleh Ketua Balai BBP Keningau bersama anggota Skuad Charlie, melibatkan tinjauan taktikal dan penilaian menyeluruh terhadap tahap pematuhan keselamatan kebakaran di premis terlibat.

Antara fokus utama pemeriksaan ialah pengesanan elemen berisiko yang boleh mencetuskan kebakaran serta memastikan sistem keselamatan kebakaran berada dalam keadaan baik dan berfungsi. Selain itu, pelan RPIK turut dikemas kini bagi menyediakan strategi pemadaman yang lebih berkesan dan khusus mengikut ciri setiap premis.

Penyediaan pelan berkenaan merangkumi pengenalpastian sumber air terdekat, laluan akses jentera bomba serta analisis struktur bangunan bagi membolehkan tindakan pantas dan terancang dilaksanakan sekiranya berlaku kecemasan.

Usaha berterusan ini dilihat penting dalam mengurangkan risiko kerugian harta benda serta mengelakkan kehilangan nyawa, selaras dengan komitmen BBP Keningau dalam memastikan keselamatan komuniti setempat sentiasa terpelihara.

TAMAT

Share This Article